Ke mana menghilangnya Dr Rahim Ghouse satu nama yang sinonim dengan gerakan reformasi yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998?

Selama lapan tahun, Dr Rahim yang pernah menjadi exco Pemuda Umno Pulau Pinang itu "menghilangkan" diri tetapi sepanjang bulan Syawal lalu, kelibat beliau kembali muncul di beberapa majlis sambutan Aidilfiti anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tokoh-tokoh politik tempatan. 

Rupa-rupanya sepanjang lapan tahun menjadi "pelarian", bekas "orang kuat" Anwar itu menetap di Australia, menguruskan koperasi dan yayasan Islam di Melbourne dan Sydney. 

Malam Khamis lalu, Dr Rahim (kanan sekali) berada di majlis sambutan Aidil Fitri bekas ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor. 

Mengikut kad perniagan yang diberikannya kepada wakilmalaysiakini, beliau menjadi Pengurus Besar di Muslim Community Co-operatif (Australia) Ltd yang beribu pejabat di Sydney. 

Kali pertama bekas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang itu muncul di khalayak ramai ialah di majlis sambutan Aidil Fitri Anwar di Bukit Damansara pada 5 November lalu. 

"Saya tidak balik terus ke sini, saya masih berulang alik antara Australia dan negara ini kerana terbabit dengan perniagaan dan menguruskan sebuah yayasan makanan halal di Melbourne," kata Dr Rahim ketika ditanya tentang perkembangan dirinya sekarang. 

Masa depan 

"Saya memang bercadang untuk kembali menetap di negara ini tetapi belum menetapkan masanya," ujar beliau lagi. 

Beliau bagimanapun enggan mengulas mengenai masa depannya politiknya. 

"Tunggulah, saya akan memberitahu anda mengenai perkara itu apabila tiba masanya," tambahnya. 

Dr Rahim ke luar negara sebaik sahaja pihak berkuasa bertindak ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pada September 1998. 

Difahamkan sebaik sahaja kediaman Anwar yang juga bekas Timbalan Presiden Umno diserbu oleh pasukan elit polis, Dr Rahim bersama beberapa "orang kuat" Anwar "menghilangkan" ke negara jiran untuk meneruskan gerakan reformasi dari luar negara. 

Beliau meninggalkan negara ini bersama beberapa orang kuat Anwar yang lain termasuk Ezam Mohd Noor yang terbang ke Jakarta dan Saifuddin Nasution Ismail yang pergi ke Bangkok. 

Ezam dan Saifuddin bagaimanapun pulang beberapa bulan selepas itu tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa negara ini. 

Masuk PKR? 

Di majlis Aidifitri tersebut beliau kelihatan berbual mesra dengan tetamu seperti Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, bekas menteri kabinet, Datuk Sabaruddin Chik dan Datuk Manan Osman serta beberapa tokoh lain. 

Sementara itu pemangku ketua Angkatan Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mengalu-alukan kepulangan Dr Rahim ke negara ini. 

Beliau berharap Dr Rahim akan menyertai PKR berdasarkan kehadirannya dalam beberapa majlis anjuran parti itu kebelakangan ini. 

"Saya telah bertemu beliau secara tidak formal beberapa kali dalam majlis PKR. Saya dapat merasakan beliau akan menyertai PKR tetapi biarlah beliau mengesahkannya sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Shamsul berkata, pengalaman Dr Rahim dalam kerajaan dan semasa reformasi akan memperkuatkan PKR, khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang. 

Katanya, PKR sedia memberi ruang kepada beliau untuk berjuang dalam parti itu dengan syarat beliau memahami matlamat perjuangan parti tersebut.